Ilmu Tauhid sebenarnya turut dikenali dengan beberapa nama yang lain iaitu :
1. Ilmu Usuluddin
2. Ilmu Tauhid dan Sifat
3. Ilmu Kalam
4. Ilmu Akidah
Ilmu Usuluddin
Ilmu Tauhid di kenali sebagai Ilmu Usuluddin kerana padanya terdapat perbahasan yang memfokuskan kepada perbincangan aqidah yang merupakan perkara asas dalam agama dan semua hukum syarak.
Ilmu Tauhid dan Sifat
Ilmu Tauhid dan Sifat menjadi salah satu daripada nama Ilmu Tauhid kerana antara intipati ilmu ini membincangkan mengenai perkara tauhid dan sebahagian besarnya pula mengenai sifat-sifat Allah yang berkaitan dengan Zat. Manakala sejumlah yang lain pula lebih banyak memfokuskan perkara tauhid kepada Allah dalam semua bidang.
Ilmu Kalam
Terdapat beberpa sebab mengapa Ilmu Tauhid cukup di kenali dengan nama Ilmu Kalam. Antara sebabnya adalah :
a) Terdapat peristiwa perselisihan faham antara ulama mengenai Kalam Allah, iaitu Al Quran, sama ada ia Qadim atau makhluk Allah. Akibat daripada peristiwa itu, umat islam terbahagi kepada dua puak.
b) Perbincangan khusus dan isi kandungan Ilmu Tauhid kebanyakannya berkaitan dengan Kalam atau teori. Ia tidak melibatkan amalan anggota atau praktikal secara zahir.
c) Pada Ilmu Tauhid juga terdapat perbincangan dalil-dalil bagi asas-asas aqidah yang menyamai dengan Ilmu Mantik. Oleh sebab itu ia di namakan dengan Ilmu Kalam bersamaan Ilmu Mantik. Ilmu ini mula tersebar luas semasa zaman pemerintahan Abbasiyah. Semasa pemerintahan Al M`amun, buku-buku Falsafah dan Mantik telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Pada zaman itu juga perdebatan mengenai masalah Falsafah, Tauhid dan Mantik telah tersebar luas.
Ilmu Aqidah
Ilmu Tauhid juga amat terkenal dengan nama Ilmu Aqidah kerana ia banyak membahaskan perkara atau persoalan yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan dalam agama Islam. Ia banyak membincangkan perkara-perkara yang menyeleweng dari agama islam serta aqidah-aqidah yang sesat serta sumber-sumber aqidah yang sebenarnya. Ilmu ini juga banyak membincangkan persoalan kepercayaan kepada rukun iman dan rukun islam.
No comments:
Post a Comment